Saturday, 25 February 2017

Rasuah




              Kegiatan rasuah tidak harus dipandang ringan oleh rakyat Malaysia. Jika isu rasuah ini tidak ditangani, ditakuti ia akan memberi kesan kepada pembangunan dan ekonomi negara pada jangka masa panjang. Kajian yang telah dijalankan menyatakan bahawa terdapat beberapa sebab atau punca yang telah mendorong kepada perlakuan rasuah.
 
 
Kurang Didikan Agama Dan Moral
              Individu yang selalu terlibat dengan rasuah adalah individu yang kurang didikan agama dan moral. Kesan daripada masalah asas ini membawa kepada anggapan bahawa tidak salah jika mereka melakukan rasuah sama ada meminta rasuah atau memberi rasuah. Hal ini ditambah dengan suasana tempat kerja yang telah lama wujudnya budaya rasuah. Bagi pekerja yang mengamalkan rasuah, cepat atau lambat sesuatu kerja yang dilakukan itu bergantung kepada nilai rasuah yang diterima. Oleh itu, perbuatan memberi dan menerima rasuah oleh individu tertentu harus dibanteras agar tidak menjadi barah dalam masyarakat.





Sikap Tidak Bertanggungjawab Masyarakat
Sikap masyarakat yang kurang prihatin terhadap masalah rasuah yang berlaku di sekeliling mereka juga menyumbang kepada perlakuan rasuah. Kebanyakan ahli masyarakat terutama di bandar lebih bersikap individualistik dan kurang mengambil berat tentang peristiwa yang berlaku di luar rumah. Jika mereka mengetahui berlakunya pelakuan rasuah, maka mereka akan menganggap bahawa perkara tersebut sebagai sesuatu yang biasa dalam situasi kehidupan masa kini yang semuanya memerlukan wang. Tambahan pula, mereka sendiri pun terlibat dalam gejala rasuah. Sesungguhnya, sikap kurang ambil berat masyarakat ini akan merugikan negara pada masa akan datang.
Karenah Birokrasi
Sebahagian masalah rasuah pula berpunca daripada sistem pentadbiran yang tidak sistematik dan tidak telus. Kerenah birokrasi dalam pentadbiran yang begitu banyak telah menyebabkan banyak urusan tidak dapat diselesaikan dengan cepat. Hal ini akan membuka ruang kepada pelakuan rasuah yang kadang-kadang terpaksa dilakukan untuk membolehkan sesuatu permohonan diluluskan dengan kadar segera. Sebahagian permohonan untuk mendapatkan sesuatu, kadang­kadang terpaksa mengambil masa yang lama sehingga setahun. Oleh itu, kajian harus dibuat bagi mengurangkan kerenah birokrasi di sesetengah jabatan kerajaan bagi mengurangkan ruang untuk melakukan rasuah.
Gaji Pekerja Yang Terlalu Rendah
Gaji pekerja yang rendah sama ada di sektor awam atau swasta juga turut mendorong kepada perlakuan rasuah. Bagi pegawai yang bergaji rendah dan bekerja di bandar, mereka kerap menghadapi masalah kewangan. Sebagai contohnya, gaji pekerja sokongan kerajaan adalah sekitar lapan ratus hingga seribu ringgit sebulan, sedangkan kos hidup di bandar terus meningkat. Oleh itu, apablia ada ruang untuk melakukan rasuah, mereka tidak berfikir panjang lagi untuk melakukan perbuatan tersebut. Adalah sesuatu yang baik jika pihak kerajaan atau majikan melakukan kajian tentang jumlah gaji yang patut dibayar kepada pekerja dalam zaman yang serba moden.
 
 

Undang-Undang Yang Longgar
Selain itu, tindakan undang-undang yang longgar juga boleh mendorong kepada perlakuan rasuah. Sebenarnya, Malaysia mempunyai undang-undang dalam membanteras gejala rasuah. Namun demikian, tidak banyak kes rasuah dapat diambil tindakan yang sewajarnya kerana mahkamah tidak dapat berfungsi dengan lancar. Banyak kes rasuah di mahkamah ditunda beberapa kali dan sebahagian kes yang dibawa ke mahkamah pula tidak cukup bukti untuk dibuat pendakwaan. Sikap beberapa pihak yang tidak serius dalam mengatasi masalah rasuah ini telah menyebabkan tindakan tidak dapat diambil kepada pihak yang melakukan rasuah.
 
 
 
Sekian Terima Kasih.

No comments:

Post a Comment